JKJR Official Clarification On Rear Seatbelt Ruling
The following article is in Bahasa Malaysia detailing some of the frequently asked question about the rear seatbelt ruling.
PENJELASAN TERHADAP PEMAKAIAN TALI PINGGANG KELEDAR TEMPAT DUDUK BELAKANG
Pelaksanaan kempen advokasi
- Bermula 1 Jun 2008, Kerajaan memulakan kempen advokasi pemakaian tali pinggang keledar tempat duduk belakang. Ianya merupakan satu pendekatan bagi melaksanakan dasar baru keselamatan jalan raya iaitu pemakaian tali pinggang keledar tempat duduk belakang, sebelum tindakan penguatkuasaan dimulakan. Kempen advokasi ini akan diadakan bagi tempoh 6 bulan.
- Kempen advokasi ini bertujuan untuk membiasakan orang ramai terhadap peraturan baru pemakaian tali pinggang keledar tempat duduk belakang. Pegawai-pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) akan mengadakan Operasi Nasihat di seluruh negara. Dalam operasi ini, mana-mana penumpang tempat duduk belakang yang didapati tidak memakai tali pinggang keledar akan diberikan nasihat (termasuklah memberikan risalah dan pelekat) berkenaan kepentingan pemakaian tali pinggang keledar tempat duduk belakang. Penguatkuasaan
- Bermula 1 Januari 2009, peraturan pemakaian tali pinggang keledar tempat duduk belakang akan dikuatkuasakan ke atas semua jenis kenderaan kecuali kenderaan-kenderaan seperti berikut:
- kenderaan yang didaftarkan sebelum 1 Januari 1995;
- kenderaan yang didaftarkan selepas 1 Januari 1995, tetapi tidak dilengkapi dengan anchorage points;
- kenderaan komersil termasuk teksi dan kereta sewa;
- kenderaan penumpang yang mempunyai lebih dari 8 tempat duduk termasuk tempat duduk pemandu; dan
- kenderaan barangan yang mempunyai had muatan barangan melebihi 3.5 tan. Kerajaan berhasrat melaksanakan peraturan yang sama ke atas kenderaan-kenderaan seperti yang dinyatakan dalam perenggan 3(iii) dan (iv) di atas secara berperingkat-peringkat.
- Bagi kenderaan yang didaftarkan selepas 1 Januari 1995 dan mempunyai anchorage points, tetapi tidak dipasang tali pinggang keledar tempat duduk belakang, pemilik kenderaan tersebut diberi tempoh selama 3 tahun untuk memasang tali pinggang keledar tempat duduk belakang. Tempoh 3 tahun bermula dari 1 Januari 2009.
- Kerajaan telah mendapat kerjasama dari pihak industri dan beberapa pembuat kenderaan untuk memasang tali pinggang keledar tempat duduk belakang secara percuma bagi kenderaan yang masih belum dipasang dengan tali pinggang keledar tempat duduk belakang.
- Sekiranya bilangan penumpang melebihi dari bilangan tali pinggang tempat duduk belakang, pemandu kenderaan tersebut bertanggungjawab untuk memastikan kesemua tali pinggang keledar tempat duduk belakang yang ada digunakan sepenuhnya. Sekiranya gagal, tindakan undang-undang akan dikenakan terhadap pemandu kenderaan tersebut.
- Peraturan Kaedah-Kaedah Kenderaan Motor (Tali Pinggang Keledar) 1978 sedia ada berkenaan pemakaian tali pinggang keledar tempat duduk hadapan adalah masih terpakai ke atas semua jenis kenderaan.
Tags: rear seatbelt
